skip to Main Content

Covid-19: Kedah Nafi Lambat Bertindak

ALOR SETAR – Kerajaan Kedah menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan kerajaan negeri lambat bertindak dalam menangani penularan pandemik koronavirus (Covid-19) di negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya sentiasa peka dengan situasi pandemik Covid-19 bagaimanapun sebarang keputusan seperti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di kawasan tertentu hanya boleh diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurutnya, kerajaan negeri hanya berhak untuk mencadangkan beberapa cadangan tetapi keputusan akhir akan dibuat oleh Persekutuan setelah mereka memperhalusi maklumat yang kerajaan negeri bentangkan.

“Apa yang saya hendak tekankan di sini, masing-masing mempunyai bidang kuasa tersendiri dan kerajaan negeri sentiasa komited dalam menangani penularan wabak ini.

“Contohnya semalam (kelmarin) saya ada mengumumkan beberapa perkara di bawah bidang kuasa negeri yang berkaitan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Ia termasuk penutupan sepenuhnya taman-taman awam di kawasan wabak, hadkan waktu operasi pasar malam dan juga sektor peruncitan.

“Sebarang keputusan yang melibatkan bidang kuasa kerajaan negeri yang diwakili oleh PBT kita akan umumkan segera supaya ia dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Usahasama Loji Janakuasa Biomas Buluh Kedah oleh Pakar B2E Sdn Bhd di Hotel The Jerai Alor Setar di sini semalam.

Turut hadir, Exco Sumber Air dan Tenaga, Datuk Suraya Yaacob.

Menurutnya, terdapat juga desakan agar sekolah-sekolah di negeri ini ditutup namun Jabatan Pendidikan Negeri berpendapat sebaliknya.

“Setakat ini sekolah masih tempat yang selamat kerana individu yang positif Covid-19 telah mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah selain saringan kontak rapat juga telah dibuat.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri ada mencadangkan sebuah sekolah di negeri ini ditutup cuma kita tidak boleh dedahkan nama sekolah berkenaan sehingga ia diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin atau Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya.

Sejak beberapa hari lalu tular di media sosial beberapa komen dan dakwaan daripada orang ramai yang menganggap kerajaan Kedah lambat bertindak dalam usaha mengekang penularan pandemik Covid-19 termasuk dalam melaksanakan PKPD Pentadbiran di Mukim Tawar di Baling.


Berita Penuh di https://www.sinarharian.com.my/ampArticle/97068

Back To Top

PAKAR B2E SDN BHD


Feel free to contact us at:
+603 3170 3987
info@pb2e.com.my



Copyright © Pakar B2E Sdn. Bhd. All Right Reserved.
Website by [F]